Social Icons

Tuesday 11 December 2012

Latarbelakang Sejarah SK. Seri Mendapat





Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat adalah lebih kurang 42km dari Bandar Melaka, 12km dari Bandar Jasin serta Pekan Merlimau. Sekolah ini terletak di sebuah kampung Melayu lama bernama SEMUJUK. Kampung Semujuk terletak berhampiran dengan kawasan penempatan semula petani di bawah anjuran FELCRA.
           
           Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat telah dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada 11 Januari 1959. Ianya dipelopori oleh Allahyarham Datuk Sidang Ibrahim bin Haji Md. Zin dengan disokong oleh Allahyarham Penghulu Md. Natar bin Mohd Ghani. Bangunan asalnya berdindingkan kayu dan beratapkan rumbia.

          Bangunan asalnya mempunyai dua bilik darjah dan muridnya seramai 40 orang iaitu 21 murid lelaki dan 19 perempuan. Tenaga pengajarnya hanya 2 orang iaitu Allahyarham Cikgu Md. Dom bin Abdullah sebagai Guru Besar dan Allahyarham Cikgu Abd. Manan bin Abdul Hamid sebagai penolongnya.


         Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1969 bangunan lama diganti dengan bangunan baru oleh kerajaan. Bangunan separuh kekal ini bernombor JKR 1188. Ia mempunyai 2 bilik darjah, sebuah pejabat dan sebuah stor. Sebuah bangunan kantin juga dibina.

        Dari tahun 1969 hingga tahun 1987 sekolah ini hanya menempatkan pelajar dari tahun 1 hingga tahun 4 sahaja. Murid-murid tahun 5 dan tahun 6 akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Merlimau 2. Walau bagaimana pun mulai tahun 1989 murid-murid bertambah sehingga 250 orang. Ini disebabkan perpindahan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Lancang dan penduduk FELCRA Kampung Lancang ke Seri Mendapat dan tertutupnya Sekolah Kebangsaan Lancang.

      Mulai tahun 1988 sekolah ini mempunyai 5 blok bangunan,1 kantin,1 bilik tandas. Penduduk kampung ini telah bermurah hati menyerahkan sebuah masjid lama yang terletak di dalam kawasan sekolah kepada pihak sekolah sebagai kemudahan guru, kakitangan dan murid-murid.

       Pada awal tahun 2002 JPM telah merobohkan 3 bangunan lama sekolah ini dan digantikan dengan  2 bangunan sekolah baru iaitu sebuah  3 tingkat dan sebuah 2 tingkat. Kemudahan sekolah ini bertambah termasuklah terbinanya sebuah kelas PRA sekolah, sebuah setesyen letrik tambahan, bilik pentadbiran yang selesa, bilik darjah, makmal, bilik mesyuarat, perpustakaan, padang perhimpunan. Infrastruktur bangunan ini telah siap pada bulan Mac 2003 dan telah diserahkan kepada pihak sekolah pada bulan April 2003.

         Kedudukan sekolah ini agak terpencil di mana ianya terpisah dari penempatan penduduk Kg. Seri Mendapat. Bandar terdekat iaitu Bandar Merlimau dan jauh dari gangguan kenderaan dan kilang.

    


No comments:

Post a Comment